Papar Dokumen
Kredit: SistemGuruOnline
10 Elemen Merentas Kurikulum (EMK) dalam KSSR (Semakan 2017). Umum sedia maklum, bermula tahun 2017, bidang kurikulum dalam sistem pendidikan negara kita telah ditambah baik. Aspek yang amat ketara ialah dengan pelaksanaan penambahbaikan kurikulum yang sedia ada bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dikenali sebagai KSSR (Semakan 2017).
KSSR (Semakan 2017) ini menggunakan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang telah dikemas kini oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sehubungan dengan itu, terdapat perubahan bagi KSSR (Semakan 2017) ini berbanding KSSR yang dahulu (sebelum 2017). Antaranya ialah dari aspek Elemen Merentas Kurikulum atau EMK. Elemen Merentas Kurikulum (EMK) ialah unsur nilai tambah yang diterapkan dalam proses PdPc selain yang ditetapkan dalam Standard Kandungan. Elemen-elemen ini diterapkan bertujuan mengukuhkan kemahiran dan keterampilan modal insan yang dihasratkan serta dapat menangani cabaran semasa dan masa hadapan. Elemen-elemen dalam EMK KSSR (Semakan 2017) adalah seperti berikut:
Dalam KSSR (sebelum 2017), terdapat 6 Elemen Merentas Kurikulum (EMK) sahaja iaitu ;
01. Bahasa
02. Sains dan Teknologi
03. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
04. Kelestarian Alam Sekitar
05. Nilai Murni
06. Patriotisme
Namun, dalam KSSR (Semakan 2017), terdapat 10 Elemen Merentas Kurikulum iaitu ;
01. Bahasa
02. Kelestarian Alam Sekitar
03. Nilai Murni
04. Sains dan Teknologi
05. Patriotisme
06. Kreativiti dan Inovasi
07. Keusahawanan
08. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
09. Kelestarian Global
10. Pendidikan Kewangan
Penerangan Setiap Elemen Merentas Kurikulum (EMK) KSSR (Semakan 2017)
01. Bahasa
- Penggunaan bahasa pengantar yang betul perlu dititikberatkan dalam semua mata pelajaran.
- Semasa PdPc bagi setiap mata pelajaran, aspek sebutan, struktur ayat, tatabahasa, istilah dan laras bahasa perlu diberi penekanan bagi membantu murid menyusun idea dan berkomunikasi secara berkesan.
02. Kelestarian Alam Sekitar
- Kesedaran mencintai dan menyayangi alam sekitar dalam jiwa murid perlu dipupuk melalui PdPc semua mata pelajaran.
- Pengetahuan dan kesedaran terhadap alam sekitar dan kelestarian global penting dalam membentuk etika murid untuk menghargai alam dan kehidupan.
03. Nilai Murni
- Nilai murni diberi penekanan dalam semua mata pelajaran supaya murid sedar akan kepentingan dan mengamalkannya.
- Nilai murni merangkumi aspek kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan akan menjadi amalan dalam kehidupan harian.
04. Sains dan Teknologi
- Menambahkan minat terhadap sains dan teknologi dapat meningkatkan literasi sains serta teknologi dalam kalangan murid.
- Penggunaan teknologi dalam pengajaran dapat membantu serta menyumbang kepada pembelajaran yang lebih cekap dan berkesan.
- Pengintegrasian sains dan teknologi dalam PdPc mengandungi empat perkara iaitu:
- Pengetahuan sains dan teknologi (fakta, prinsip, konsep yang berkaitan dengan sains dan teknologi)
- Kemahiran saintifik (proses pemikiran dan kemahiran manipulatif tertentu)
- Sikap saintifik (seperti ketepatan, kejujuran, keselamatan)
- Penggunaan teknologi dalam aktiviti PdPc.
05. Patriotisme
- Semangat patriotik dapat dipupuk melalui semua mata pelajaran, aktiviti kokurikulum dan khidmat masyarakat.
- Semangat patriotik dapat melahirkan murid yang mempunyai semangat cintakan negara dan berbangga sebagai rakyat Malaysia.
06. Kreativiti dan Inovasi
- Kreativiti adalah kebolehan menggunakan imaginasi untuk mengumpul, mencerna dan menjana idea atau mencipta sesuatu yang baharu atau asli melalui ilham atau gabungan idea yang ada.
- Inovasi merupakan pengaplikasian kreativiti melalui ubah suai, membaiki dan mempraktikkan idea.
- Kreativiti dan inovasi saling bergandingan dan perlu untuk memastikan pembangunan modal insan yang mampu menghadapi cabaran abad ke-21.
- Elemen kreativiti dan inovasi perlu diintegrasikan dalam PdPc bagi membangun dan mengembangkan potensi kreativiti mengikut keupayaan murid.
07. Keusahawanan
- Penerapan elemen keusahawanan bertujuan membentuk ciri-ciri dan amalan keusahawanan sehingga menjadi satu budaya dalam kalangan murid.
- Ciri keusahawanan boleh diterapkan dalam PdPc melalui aktiviti yang mampu memupuk sikap seperti rajin, jujur, amanah dan bertanggungjawab serta membangunkan minda kreatif dan inovatif untuk memacu idea ke pasaran.
08. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
Penerapan elemen TMK dalam PdPc memastikan murid dapat mengaplikasi dan mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran asas TMK yang dipelajari.
Pengaplikasian TMK bukan sahaja mendorong murid menjadi kreatif malah menjadikan PdPc lebih menarik dan menyeronokkan serta meningkatkan kualiti pembelajaran.
TMK diintegrasikan mengikut kesesuaian topik yang hendak diajar dan sebagai pengupaya bagi meningkatkan lagi kefahaman murid terhadap kandungan mata pelajaran.
09. Kelestarian Global
Kelestarian Global merangkumi tiga elemen iaitu:
- Penggunaan dan Pengeluaran Lestari
- Kewarganegaraan Global
- Perpaduan
- Kelestarian Global diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran secara langsung dan sisipan.
- Kelestarian Global bertujuan untuk mendedahkan murid kepada isu-isu semasa yang mencabar di peringkat tempatan, negara dan global.
- Kesedaran tentang perkembangan dunia yang berkaitan alam sekitar, ekonomi, keselamatan, perpaduan, kesihatan, penghayatan nilai seperti patriotik, integriti, empati, bertanggungjawab dan menghormati hak orang lain perlu didedahkan kepada murid agar murid dapat mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk menghadapi dunia global dan menjadi global player secara lebih berkesan.
- Kesedaran mencintai dan menyayangi alam sekitar dalam jiwa murid perlu dipupuk melalui PdPc semua mata pelajaran bagi membentuk etika murid untuk menghargai alam.
10. Pendidikan Kewangan
- Penerapan elemen pendidikan kewangan bertujuan membentuk dan memastikan semua murid di Malaysia dilengkapi dengan pendidikan kewangan yang komprehensif.
- Pendidikan Kewangan merupakan satu proses yang membolehkan pengguna kewangan meningkatkan pemahaman mereka mengenai produk, konsep dan risiko kewangan.
- Melalui maklumat, panduan atau nasihat yang betul murid dapat membangunkan kemahiran dan keyakinan untuk menjadi lebih arif mengenai risiko dan peluang serta dapat membuat pilihan yang bijak, mengetahui saluran bagi mendapatkan bantuan, dan mengambil tindakan yang berkesan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan mereka.
- Antara elemen kewangan berhemat yang diterapkan adalah seperti peranan wang, sumber pendapatan dan kerjaya, pengurusan dan perancangan kewangan, simpanan dan pelaburan, pengurusan kredit dan hutang serta perlindungan insuran.